Sunday, 23 November 2014

Bubur nasi ayam ala McDonald.

Kali ini saya kongsikan resepi bubur nasi ayam. Kedengaran biasa-biasa sahaja. Setakat bubur nasi, orang bujang pun boleh. Tapi, yang biasa itulah ramai yang mahu.
Jika tidak, bagaimana kedai makan boleh meletakkan nasi goreng biasa sebagai salah satu menu di kedai? Ubi kayu dengan sambal bilis?
Bubur nasi ayam apabila dijadikan menu oleh McDonald, ia kelihatan luar biasa. Ramai yang menyerbu membeli umpama semut menghurung gula. Sedapnya mencicip bubur itu panas-panas sambil mengimbau kenangan lalu bubur nasi ibu yang kita makan semasa hujan atau awal pagi sebelum ke sekolah. Sangat nostalgia!

Bubur nasi ayam ala McDonald ini sebenarnya amat mudah untuk kita masak sendiri di rumah. Ia bukan lagi makanan untuk orang sakit atau makanan untuk anak kecil. Ia boleh dijadikan makanan seisi keluarga. Cuma perlu bijak mempelbagaikan bahan dan gandingannya.

Bubur nasi ayam.

Bahan-bahan
Beras
Ayam (isi dan sedikit tulang) dan air stok ayam.
Bawang merah, bawang putih dan halia (dimayang)
Lobak, daun bawang, daun sup dan cili merah  (dipotong yang mana sebahagian daripadanya dimasak, sebahagian lagi ditabur ketika makan)
Kiub ayam
Minyak bijan
Gula, garam dan lada sulah

Cara-cara
1. Tanak beras dengan bawang putih, halia, kiub ayam, akar daun bawang daun sup.
2. Masukkan ayam, air stok ayam, bawang merah mayang yang digoreng garing terlebih dulu.
3. Setelah beras menjadi bubur, masukkan lobak.
4. Masukkan sedikit daun bawang, daun sup, cili merah, minyak bijan, bawang goreng.
5. Perasakan dengan gula, garam dan lada sulah.
6. Kacau dan biarkan seketika supaya sebati dan bubur kelihatan cantik.

Tips:
♢air dari tulang ayam memberi rasa enak manis.
♢bawang merah goreng memberi rasa manis.
♢boleh dipelbagaikan sayur seperti sawi, lobak masin, cendawan, bunga kobis atau saderi.
♢boleh juga ditambah telur hancur, bebola ikan atau sosej untuk menambahkan selera makan anak.
♢jika suka pedas, sedap dimakan dengan kicap soya cair dan cili padi.
♢gunakan garam mineral supaya masakan lebih khasiat, enak dan tahan lama.
♢cuci bersih ayam menggunakan garam mineral..dapat dilihat lemak ayam yang tersingkir.

UMI QASEH BANGI
BERQASEH DI RUMAH.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...